S
eorang ketua negara adalah pemimpin rakyatnya. Seorang majikan adalah pemimpin pekerjanya. Seorang ketua kampung adalah pemimpin penduduk kampungnya. Seorang ayah adalah pemimpin keluarganya. Seorang individu adalah pemimpin dirinya sendiri.
Tidak kurang hebatnya tanggungjawab memimpin bagi setiap individu. Memimpin adalah perlu bagi meletakan jagaan kepimpinan samada diri sendiri atau ahli organisasi di jalan menuju kepada objektif yang ditetapkan.
Dalam pada mengatur langkah tersebut, diri kita atau organisasi dipersiapkan bagi memastikan kita dalam keadaan sedia dan sesuai setibanya ke destinasi objektif.
Oleh kerana itu, seharusnya kita mendidik dalam memimpin. Jika pemimpin hanya mementingkan objektif tetapi tidak mempersiapkan pimpinannya, maka, objektif mungkin tercapai tetapi keadaan lebih rumit ketika itu dengan masalah-masalah lain hasil dari pencapaian objektif akan timbul.
Sebagai contoh, seorang majikan yang menggariskan jualan 1000unit produk akan berjaya menjual 1000unit dengan kepimpinannya tetapi kemungkinan kehilangan pekerja mahirnya kerana pekerjanya tidak dididik untuk terus berkhidmat dan memiliki moral yang baik. Seorang majikan yang lain, sentiasa mendidik dan memberi tunjuk ajar dalam perniagaan serta memupuk moral yang tinggi dalam berniaga, akan berjaya menjual 1000unit produk yang sama. Tetapi berkemungkinan besar akan terus mengekalkan pembeli serta pekerjanya yang suka dan selesa berurusan dengan syarikatnya.
Semudah-mudah kepimpinan adalah dengan mendidik. Apatah lagi jika tugas utama organisasi adalah pendidikan seperti institusi pendidikan dan institusi keluarga.
Kepimpinan yang kita sering kali amati adalah kepimpinan yang tidak mendidik dan hasilnya adalah organisasi yang hanya mementingkan keuntungan syarikat semata-mata dan berhadapan dengan risiko pengekalan momentum jualan, nilai-nilai korporat dan integriti.
Seluruh dunia sering kali menjadikan tokoh-tokoh kepimpinan yang berjaya sebagai role-model kepimpinan mereka. Tetapi, sayangnya, tidak semua tokoh ini berjaya mendidik.
Mendiang Steve Jobs menjadi role-model innovasi kerana kepimpinan transformational yang diiringi dengan didikan yang menyuntik fahaman bahawa innovasi bukan suatu perkara uyang mustahil, malah sesuatu yang baru dapat dicipta untuk kegunaan umum dari perkara yang kita belum pernah lakukan. Apple cuba keluar dari kebiasaan yang kita lakukan lalu menghasilkan produk-produk berinovasi tinggi.
Contoh-contoh teladan kepimpinan yang mendidik telah lama wujud dan banyak. Setiap para Rasul Allah memberikan teladan yang baik dalam konteks ini. Mereka menjadi pemimpin kepada umat dan diri mereka sendiri dengan sikap serta sifat terpuji bagi menjadi contoh lalu mendidik diri sendiri dan umat mereka. Nabi dan para Rasul adalah contoh kepimpinan sepanjang zaman. Namun begitu, jarang sekali kita memandang kisah-kisah para Nabi dan Rasul dalam konteks kepimpinan. Insya-Allah, Notafikir.com akan cuba membincangkan konteks kepimpinan para Nabi dan Rasul untuk kita contohi serta mula memimpin dengan mendidik.
Inilah isi pati kepimpinan melalui teladan yang lebih mudah diintepretasi dengan istilah kepimpinan yang mendidik.
Masa depan negara bukan terletak pada kepimpinan semata-mata tetapi juga tertakluk kepada nilai dari kepimpinan yang ditonjolkan. Kejayaan para tokoh Islam seperti Salehuddin Al-Ayubi menonjol akhlak yang terpuji dan mendidik pasukannya dengan ilmu agama yang baik supaya memiliki akhlak yang indah meskipun berhadapan dengan kawan mahupun lawan.
Apatah lagi apabila negara kita disepak-sepak dengan gelombang politik yang menjijikan. Pimpinlah diri sendiri dengan mendidik, agar kita tidak dizalimi serta berupaya memimpin orang lain untuk tidak menzalimi malah mendidik.
Renung-renungkan, samada kita selama ini memimpin diri dan organisasi menuju objektif dengan mendidik atau tidak.